Kes Covid mencanak naik lagi. Tapi tak macam tahun-tahun sebelum ni, sekarang masyarakat Malaysia lebih relaks dengan berita kenaikan kes Covid. Mungkin sedikit sebanyak kita sudah 'imun' dengan penyakit berjangkit yang satu ni. Tak nak lah macam dulu lagi, PKP la... PKPP, PKPD bla bla bla. Pening kepala! 


Wabak COVID-19 ni sebenarnya telah memberikan impak yang ketara kepada banyak sektor, seperti hartanah di Malaysia. Mana taknya, pelbagai langkah kawalan seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan perniagaan telah menyebabkan perubahan dalam dinamik pasaran hartanah. 


Penurunan aktiviti ekonomi dan ketidakpastian apa yang bakal berlaku seterusnya telah menyebabkan beberapa cabaran, termasuk penurunan harga hartanah, penangguhan projek pembangunan, dan pengekalan kadar penyewaan. Kesannya turut dirasai dalam aspek pembiayaan hartanah dengan peningkatan permintaan moratorium pinjaman. 


Tahun 2024 Sesuai Beli Rumah 


Memiliki rumah sendiri adalah idaman setiap orang. Tahun 2024 adalah tahun yang sesuai untuk beli rumah

Cakap pasal hartanah ni kan, tahu tak korang yang tahun 2024 ini adalah tahun yang sesuai untuk kita beli rumah kerana keadaan ekonomi negara kini bertambah baik berbanding zaman Covid-19 tu hari. Malah inisiatif kerajaan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif juga dapat meningkatkan permintaan pasaran hartanah.


Orang kata rugi kalau tak bertindak sekarang memandangkan harga masih boleh terima akal. Lagipun, tahun 2024 juga ada beberapa peluang lain seperti:

  1. Layak mendapatkan pengecualian duti setem 100% kalau harga rumah tidak melebihi RM500,00 bagi pembeli rumah pertama. 
  2. Layak mendapatkan pembiayaan 100% melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).


Semak Kelayakan Pinjaman Perumahan

Tapi sebelum kita terperangkap dengan beban kewangan berlebihan mahupun kerugian, eloklah kalau kita semak kelayakan dan kemampuan bayar pinjaman bank terlebih dahulu. Nak kira kelayakan, ada formula yang digunakan. 


Kalau ada kenalan mahupun kawan yang kerjayanya ejen hartanah, boleh minta dia tolong kirakan. Takpun, boleh kira sendiri kelayakan berdasarkan pendapatan kita di mana-mana website seperti Kalkulator Kelayakan Pinjaman Perumahan di Mortgage Calculator.


Sebelum beli rumah boleh check kelayakan pinjaman perumahan mengikut pendapatan

Dalam kalkulator ini kita boleh masukkan investments, annuities, alimony, government benefit payments di bahagian 'other income sources'. Pastikan pilih kekerapan pendapatan yang betul untuk mengira pendapatan tahunan yang betul. 


Contohnya dengan pendapatan tunggal RM4000 berserta sekian hutang dan juga down payment sebanyak 10%, anggaran kelayakan harga rumah termasuk down payment adalah sekitar RM 158,000 sehingga RM 238,000.


Tapi kena ingat juga, setiap orang ada cabaran kewangan tersendiri. Lepas check kelayakan pembiyaan, jangan terus buat keputusan nak beli rumah dulu. Kita perlu semak pendapatan dan belanjawan serta bajet bulanan kita dulu macam mana. Kita kena jadi pembeli yang bijak dan belilah rumah mengikut bajet kita. Janganlah sampai hujung bulan je sesak melampau. Tak aman hidup kalau macam tu tau! 


Semak Anggaran Bayaran Bulanan Rumah

Kalau nak lagi jelas, boleh kira anggaran bayaran bulanan rumah tu berapa. So bolehlah kita buat anggaran komitmen bulanan untuk pelbagai senario pinjaman tu macam mana. Cukup makan atau sesuai untuk teruskan niat memiliki rumah idaman. 


Korang boleh kira monthly payment rumah idaman dekat https://www.mortgagecalculator.uk/ okay. Jangan risau, biasanya pengiraan bank di dunia ini menggunakan sistem yang sama. Tiada masalah disitu.


Sebelum beli rumah boleh kira dan semak anggaran bayaran bulanan rumah

Alright, sebagai contoh kita nak beli rumah bernilai RM240,000, deposit 10% dari harga rumah iaitu RM24,000, terms ikat 35tahun dan bank rate adalah 4% (anggaran sahaja), maka anggaran bulanan yang perlu dibayar bernilai RM956.39 macam tu.  


Tips Skor Kewangan yang Cantik

Yang Nur kongsikan ni anggaran sahaja tau. Nak lagi yakin boleh pergi mana-mana bank untuk semak kemampuan bayar pinjaman. Nak dapatkan pinjaman pun perlulah buat beberapa persediaan untuk pastikan skor kewangan kita cantik. Antaranya ialah:

  1. Bayar komitmen tepat masa
  2. Kerja berstatus tetap
  3. Caruman KWSP majikan konsisten
  4. Dokumen sokongan lengkap
  5. Gaji diterima sama dengan penyata gaji
  6. Berhemah menggunakan kad kredit (jika ada)


Kos yang Perlu disediakan untuk Beli Rumah

Bila kewangan dah mantap, bolehlah cukupkan duit untuk bayar kos beli rumah yang anggarannya sekitar 13% sehingga 15% daripada harga rumah. Ada beberapa kos yang kita perlu sediakan. Antaranya adalah:

  1. Deposit rumah sebanyak 10% daripada harga belian
  2. Kos guaman dan duti setem perjanjian jual beli
  3. Kos-kos lain seperti insuran MRTT dan kos penilaian rumah yang kebiasaannya pakej pinjaman benarkan kita untuk masukkan kos ni dalam pinjaman


Akhir Kata

Sebenarnya nak beli rumah ni banyak lagi perkara yang kita perlu ambil kira. Nur pun tidaklah terlalu arif dalam bidang ni. Kalau mahukan jawapan yang lebih tepat terhadap persoalan kita mengenai hartanah, eloklah bertanya kepada mereka yang lebih arif seperti ejen hartanah. 


Yang Nur kongsikan ni hanyalah pendedahan awal sahaja. Yela, nak beli rumah kenalah ada sedikit ilmu, dengan harapan tuan punya badan jelas dengan proses membeli rumah idaman serta tahu matlamat beli rumah sama ada mahu dijadikan tempat tinggal atau pelaburan. 


Sekian sahaja perkongsian Nur tentang Beli Rumah Idaman pada Tahun 2024. Semoga bermanfaat buat mereka yang memerlukan. Semoga kita semua berjaya membeli rumah idaman kita.



1 Comments